Sejarah Warner Bros.

Nama syarikat ini yang bermaksud "Warner Bersaudara" datang daripada empat adik-beradik yang mengasas syarikat ini iaitu Harry, Albert, Sam dan Jack,[5][6] anak-beranak kepada Benjamin dan Pearl Leah Wonsal (atau Wonskolaser) iaitu pendatang berbangsa Yahudi dari Krasnosielc, Poland yang berhijrah ke Kanada.

Adik-beradik tersebut menubuhkan satu syarikat pengedaran filem pada tahun 1904 bernama Duquesne Amusement & Supply Company di Pittsburgh.[7][8] Mereka mula bergiat dalam pembikinan filem selepas Perang Dunia Pertama dengan pembukaan studio pertama mereka di Sunset Boulevard, Hollywood.; Sam dan Jack bertugas sebagai pembikin filem manakala Harry dan Albert bertindak sebagai pengurus kewangan dan jurupromosi di Pantai Timur Amerika Syarikat, terutamanya di Bandar Raya New York. Mereka merasmikan syarikat mereka dengan pendaftaran nama Warner Bros. Pictures, Incorporated pada 4 April 1923 setelah memperoleh sedikit wang pinjaman.[9][10]

Studio "Warner Brothers" ini mula mendapat nama dengan filem The Jazz Singer pada tahun 1927. Filem dibintangi Al Jolson ini memperkenalkan teknologi Vitaphone yang merakam suara dirakam pada cakera khas yang berasingan; filem ini tidak banyak dialog namun ada bahagian yang melibatkan nyanyian watak Jolson. Sam Warner meninggal dunia sehari sebelum filem tersebut dapat ditayangkan kepada orang ramai pada 6 Oktober tahun sama namun Harry, Albert dan Jack tetap meneruskan perniagaan mereka. Warner Brothers hanya melabur sebanyak $500,000 dalam produksi filem ini namun mendapat kutipan sebanyak USD3 juta;[11] filem ini sangat diminati dan laris dengan kutipan meninggi lalu membawa kepada penghasilan filem seumpamanya yang berterusan dan filem bisu lama-kelamaan tidak lagi dihasilkan.